Monday, October 1, 2012

Buat Suami- Suami yang baru bergelar Suami

Berhasrat untuk kembali menulis dengan status baru dan sesungguhnya lagu ini memberi impak yang besar untuk diri yg kerdil ini..

Saat Lafaz Sakinah (by FarEast)


Heningnya
Sunyi suasana
Lafaz sakinah bermula

Apa rasa
Diterjemah hanya
Sebak abah tangis ibunda

Adalah aku wali puteriku
Serah kini amanahku ini padamu
Nafkahilah dia curah kasih dan cinta
Lebih dari yang ku berikan kepadanya

Chorus
Dulu esakannya sandar di bahuku
Tangisannya kini ku serah padamu
Bukan bermakna dia bukan milikku
Fitrahnya perlukanmu
Jadikanlah dia wanita syurga
Mengerti benar akan maharnya
Taat itu bukan hanya pada nama
Indah ia pada maksudnya

Ku akur
Akan pesanmu
Puterimu kini amanahku

Iringilah
Dengan doamu
Bahagia kami dari redhamu


Saturday, December 5, 2009

Tafsir bi al-Ra’yi

Tafsir bi al-Ra’yi boleh diibaratkan sebagai tafsir al-Quran menggunakan ijtihad. Iaitu ijtihad yang dilakukan oleh ahli tafsir selepas mereka memahami dan menguasai dengan baik segala ilmu yang berkaitan dengan bahasa Arab, arif tentang maksud dan pengertiannya, serta mengetahui sebab-sebab turun ayat dan nasikh-mansukhnya.

Adapun perkataan al- Ra’yi, ianya membawa beberapa maksud, antaranya bermaksud i‘tiqad ataupun pegangan, sebagaimana di dalam kamus Lisan al- ‘Arab, al- Ra’yi: al- I’tiqad.Manakala kata banyaknya ialah Ara’ ( آراء ). Al- Ra’yi juga membawa maksud Qias, sebagaimana dikatakan, Ashab al- Ra’yi, bermaksud Ashab al- Qiyas.

Dari penjelasan di atas, dapat disimpulkan bahawa al- Ra’yi dalam ilmu tafsir ialah sesuatu yang sama yang dimaksudkan dengan al- Ijtihad, dan pengertian Tafsir bi al- Ra’yi ialah ibarat mentafsir al-Quran dengan ijtihad.

Agak rumit untuk kita memisahkan secara menyeluruh Tafsir bi al- Ra’yi dari Tafsir bi al- Ma’thur. Ini kerana Tafsir bi al- Ma’thur sendiri secara keseluruhannya masih tidak terlepas dari mengambil pandangan atau ijtihad para sahabat dan juga tabi’in.

Perbezaannya hanya disebabkan pergantunggannya kepada al-Quran itu sendiri dan juga hadith Nabi S.A.W dalam menjelaskan maksud al-Quran adalah lebih dominan, maka ianya dinamakan dengan Tafsir bi al-Ma’thur.

Manakala apabila banyak menggunakan pendapat dan ijtihad maka ianya dinamakan dengan Tafsir bi al- Ra’yi.Terdapat percanggahan pendapat tentang Tafsir bi al- Ra’yi di kalangan para ulama. Ada di antara mereka menerimanya dan sesetengah yang lain menolak.

Golongan yang menolak Tafsir bi al- Ra’yi dan hujah
•Golongan yang menolak telah berhujah dengan hadith-hadith Rasul S.A.W yang menegah mentafsir al-Quran dengan pendapat masing-masing, bahkan mengharamkannya. Antaranya hadith :
من قال في القرآن بغير علم فليتبوأ مقعده من النار
من تكلم في القرآن برأيه فأصاب فقد أخطأ

•Golongan yang menolak ini juga berhujah dengan menggunakan akal, mereka mengatakan:
Sekiranya mentafsir al-Quran dengan menggunakan akal fikiran itu betul, tetapi pada hakikatnya ianya belum sampai ke peringkat yang meyakinkan, bahkan ianya masih dalam bentuk syak. Apabila memperkatakan sesuatu yang berkaitan dengan agama Allah S.W.T dengan jalan syak, maka ianya seumpama memperkatakan tentang Allah S.W.T dengan apa yang tidak ketahui.Mereka juga berhujah bahawa para sahabat Baginda S.A.W sendiri merasa berdosa untuk mentafsir kitab Allah S.W.T walaupun mereka itu adalah orang yang begitu arif tentang bahasa al-Quran, di mana Abu Bakr al- Siddiq pernah ditanya tentang tafsir firman Allah S.W.T:

وَكَانَ اللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ مُقِيتًا

Saiyidina Abu Bakr menjawab; Langit manakah yang akan memayungiku dan bumi manakah yang akan menanggungku, jika aku berkata tentang kitab Allah S.W.T dengan sesuatu yang aku tidak ketahui.

Golongan yang menerima Tafsir bi al- Ra’yi dan hujah
•Di antara ayat-ayat al-Quran yang dijadikan dalil oleh golongan ini ialah firman Allah S.W.T:

كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا ءَايَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الأَلْبَابِ
أَفَلا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْءَانَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا

Hujah mereka yang berikutnya ialah tentang tafsir Abu Bakr mengenai makna al- Kalalah pada firman Allah S.W.T:

وَإِنْ كَانَ رَجُلٌ يُورَثُ كَلالَةً أَوِ امْرَأَةٌ وَلَهُ أَخٌ أَوْ أُخْتٌ فَلِكُلِّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا السُّدُسُ

Abu Bakr r.a pernah berkata;
Sesungguhnya aku telah mengetahui maksud al- Kalalah, sekiranya maksud tersebut betul, maka sesungguhnya ia datang dari Allah S.W.T, dan aku tidak sekali-kali menyekutukanNya. Akan tetapi seandainya maksud tersebut silap, sesungguhnya ianya dari diriku sendiri dan dari Syaitan. al- Kalalah itu ialah sesiapa yang mati dan tidak meninggalkan anak ataupun ayah.

‘Umar r.a apabila dilantik menjadi khalifah pernah berkata; Sesungguhnya aku merasa malu kepada Allah S.W.T untuk menyalahi pendapat yang telah dikemukakan oleh Abu Bakr r.a.

Golongan ini juga telah berhujah menyatakan bahawa Mujahid telah bertanya Ibn ‘Abbas tentang tafsir, dan di tangannya terdapat papan tulis. Lalu Ibn ‘Abbas berkata kepadanya;

“Tulislah! Sehingga beliau bertanya kepada Ibn ‘Abbas semua perkara berkaitan tafsir”

Jawapan kepada hujah golongan yang menolak Tafsir bi al- Ra’yi

1)Hadith yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas bahawa Nabi S.A.W melarang umatnya mentafsir al-Quran tanpa ilmu, adalah merujuk kepada golongan yang mentafsir al-Quran berdasarkan hawa nafsu semata-mata tanpa padoman ilmu. Sedangkan mentafsir al-Quran dengan al-Ra’yi atau ijtihad jauh bezanya dengan menggunakan hawa nafsu. Ini kerana, mentafsir al-Quran dengan al- Ra’yi atau ijtihad masih lagi dalam ruang lingkup ilmu, di mana ahli tafsir sebelum dibenarkan mentafsir berasaskan al-Ra’yi mesti terlebih dahulu memiliki ilmu yang berkaitan al-Quran dan tafsirannya. Cuma sebagai tambahan, mereka memerlukan ketelitian dan kefahaman yang jitu dalam mengaitkan ayat-ayat al-Quran dengan isu-isu semasa yang berubah setiap masa dan ketika.

Rasul S.A.W sendiri pernah mendoakan Ibn ‘Abbas agar diberi kefahaman yang jitu dalam memahami ta’wilan ayat-ayat Allah S.W.T
اللهم فقه في الدين وعلمه التأويل

Ibn ‘Atiyyah berkata; Apa yang dimaksudkan dengan al-Ra’yi dalam hadith Ibn ‘Abbas tersebut ialah apabila seseorang bertanya tentang maksud yang terkandung di dalam al-Quran, lalu beliau menganggarkan maksud ayat tersebut berpandukan pendapatnya semata-mata tanpa merujuk kepada tafsiran para ulama, atau pun pengertian yang bertepatan dengan kaedah ilmu seperti ilmu tatabahasa Arab dan ilmu usul.Jelasnya lagi;
“Dan tidak tergolong di dalam hadith ini sekiranya yang mentafsirkannya ialah seorang ahli tatabahasa Arab yang mentafsirkannya berdasarkan kemahiran tatabahasa Arabnya dan ahli fekah tentang persoalan hukum-hakamnya. Maka, setiap seorang mentafsir menggunakan ijtihad masing–masing, di mana kesemuanya dibina di atas asas ilmu dan penelitian”

Al-Bayhaqi berkata:
Seandainya hadith ini Sahih sekali pun, sesungguhnya apa yang dikehendaki dengan al-Ra’yi di sini –والله أعلم - ialah al-Ra’yi atau pendapat yang tidak mempunyai dalil, seperti tidak harus bagi kita menggunakan pendapat sendiri dalam memperkatakan tentang sebab-sebab turun ayat al-Quran.

2)Pendapat yang mengatakan bahawa tafsir bi al- Ra‘yi adalah mentafsir Kalam Allah S.W.T dengan cara syak, telah ditolak oleh golongan yang mengharuskannya berdasarkan hujah bahawa syak itu sendiri adalah sebahagian daripada ilmu. Kerana ia mengambil pendapat yang paling rajih. Walaupun pada zahirnya pendapat tersebut kemungkinan menyalahi maksud yang dikehendaki.

3)Hujah yang mengatakan bahawa para ulama Salaf keberatan dan rasa berdosa untuk mentafsir al-Quran, dijawab oleh golongan yang mengharuskannya, bahawa perasaan berdosa tersebut sebenarnya timbul di atas sikap berhati-hati yang ada dalam diri para al-Salaf al-Soleh. Walaupun mereka sememangnya mempunyai ilmu tentang al-Quran dan keterhadapan dalam hal-hal tersebut, ataupun mereka tidak mentafsirkan ayat-ayat yang agak rumit (Mushkil al-Qur’an), kerana ditakuti tidak menepati kehendak Allah S.W.T.

Penyelarasan antara dua pandangan yang berbeza
i)Imam al-Syatibi sebagai seorang ulama yang terkenal dalam bidang usul, menyatakan; Pandangan yang menggunakan (al-ra‘yi) akal fikiran terbahagi kepada:

PERTAMA) Pandangan dari akal fikiran yang selari dengan ilmu linguistik, serta bertepatan dengan al-Quran dan al- Sunnah. Maka kita wajib mengambilnya disebabkan oleh beberapa perkara;

a- al-Quran perlu diperjelaskan tafsirannya, diterangkan makna serta maksudnya sehingga ia benar-benar difahami. Seterusnya diistinbat hukum-hakam yang terdapat di dalamnya. Hal ini tidak kesemuanya dijelaskan. Apabila semua ini tidak dijelaskan, akan menyebabkan hukum tergendala sama ada sebahagiannya atau kesemuanya.

b- Dalam keadaan sedemikian, maka wajib bagi Rasul S.A.W menjelaskan kesemuanya sehingga tidak ada ruang bagi seseorang pun untuk memperkatakanya. Akan tetapi, sebagaimana kita ketahui Rasul S.A.W tidaklah menjelaskan kesemuanya sekali. Baginda S.A.W hanya menjelaskan perkara-perkara yang tidak mungkin difahami melainkan dengan keterangan daripadanya, dan meninggalkan banyak ayat yang mampu diketahui oleh ulama-ulama melalui ijtihad-ijtihad mereka.

c- Para sahabat Baginda S.A.W adalah orang yang paling menghalusi kitab Suci Allah S.W.T. Akan tetapi, sebagaimana kita ketahui mereka juga telah mentafsir al-Quran mengikut apa yang mereka fahami. Maka untuk kita menghadkan tafsiran hanya dibenarkan melalui jalan tawqifiyyah sahaja adalah tidak tepat.

d- Seandainya dihadkan tafsiran hanya melalui jalan tawqifiyyah sahaja, maka ianya adalah suatu perkara mustahil. Ini kerana kita melihat al-Quran dari dua sudut yang berbeza, dari sudut Syariahnya iaitu perkara yang bersangkutan dengan hukum-hakam dan seumpamanya, maka mengambilnya melalui jalan tawqifiyyah adalah perkara yang tidak perlu dipertikaikan lagi. Namun, perkara yang bersangkutan dengan sumber bahasa Arab tidak mungkin melalui jalan tawqifiyyah kerana bangsa Arab sendiri mampu memahaminya kerana diturunkan menggunakan bahasa mereka.

KEDUA) Adapun pandangan yang tidak selari dan bertepatan dengan bahasa Arab, juga tidak bertepatan dengan dalil-dalil Syarak maka ianya dikira pandangan yang ditolak (Mazmum), kerana ianya dikira mentafsir Kalam Allah S.W.T tanpa bersandar kepada dalil. Ini membawa kepada mendustai Allah S.W.T.
Walaupun Tafsir bi al-Ra’yi diharuskan oleh para ulama, namun, bagi menjaga agar tafsiran yang dilakukan tidak terkeluar dari landasan yang dibenarkan, maka para ulama telah membahagikan tafsiran tersebut kepada dua bahagian, iaitu:

1: Tafsir bi al- Ra‘yi yang diterima (Mamduh), iaitu tafsir dengan akal fikiran yang selari dan bertepatan dengan al-Quran dan al-Sunnah, di samping menjaga syarat-syarat yang telah ditetapkan di dalam mentafsir al-Quran.

2: Tafsir bi al- Ra‘yi yang ditolak (Mazmum), iaitu tafsir yang tidak memenuhi syarat seperti di atas, kerana ianya dianggap sebagai mentafsir al-Quran dengan hawa nafsu tanpa dalil, bahkan menyeleweng dari maksud sebenar ayat-ayat al-Quran

Tafsir al-Ma’thur

Al- Ma‘thur adalah Isim Maf’ul berasal daripada perkataan ( أثرت الحديث أثرا ) dari bab ( قتل )

Percakapan al-Ma’thur ialah percakapan yang yang dipindahkan ( المنقول) sama ada dari al-Quran itu sendiri, atau dari Rasul S.A.W atau dari kalangan para sahabat dan tabi’in.

Tafsir bi al-Ma’thur ialah tafsir yang dipindahkan atau yang diriwayatkan sama ada ianya secara mutawatir atau sebaliknya.

Tafsir bi al-Ma‘thur terbahagi kepada empat bahagian:
1.Mentafsir al- Quran dengan al- Quran.
2.Mentafsir al- Quran dengan hadith Rasul.
3.Mentafsir al- Quran dengan pendapat para sahabat.
4.Mentafsir al- Quran dengan pendapat dan pandangan para tabi’in.

Allah S.W.T yang menurunkan al-Quran sudah semestinya mengetahui tentang perkara yang dikehendaki daripada kalamNya tersebut. Dalam hal ini, al-Quran ada menyatakan:
وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إلا اللَّهُ
Bermaksud: Tidak ada yang mengetahui ta‘wilnya melainkan Allah S.W.T.

Mereka yang memerhati dan meneliti hadith Rasul S.A.W mengetahui dengan ilmu yakin bahawa hadith adalah penjelas (Syarh) kepada al-Quran. Ini diakui sendiri oleh Rasul S.A.W di dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Mikdam bin Ma‘dikarab:

( ألا إني أوتيت الكتاب ومثله معه )
Bermaksud: Tidakkah bahawa aku telah diberikan kitab (al-Quran) dan juga yang seumpama dengannya (iaitu al- hadith).

• Ibn ‘Abbas menjelaskan bahawa tafsir itu terbahagi kepada empat bahagian:

1) Bahagian di mana bangsa Arab mampu memahaminya kerana ianya diturunkan menggunakan bahasa pertuturan mereka.

2)Bahagian yang mesti dan wajib diketahui oleh setiap individu.

3)Bahagian di mana tafsiran tersebut hanya mampu difahami oleh kalangan ulama.

4)Bahagian di mana tafsirannya tidak diketahui maksudnya kecuali Allah S.W.T.

Hakikatnya, Rasul S.A.W tidak mentafsir ayat-ayat yang mampu difahami oleh bangsa mereka kerana ianya diturunkan dengan menggunakan bahasa percakapan harian mereka. Rasul S.A.W tidak mentafsir ayat-ayat yang jelas maksud dan pengertiannya yang menuntut sehingga setiap orang wajib mengetahui, memahaminya.
Rasul S.A.W tidak mentafsir ayat-ayat yang hanya terdapat dalam pengetahuan Allah S.W.T sahaja, seperti kedatangan hari Kiamat, hakikat roh dan seumpamanya.

Rasul S.A.W hanya mentafsirkan kepada para sahabatnya perkara-perkara yang ghaib yang Allah S.W.T sembunyikan dari pengetahun mereka, tetapi tidak bagi RasulNya.

Baginda S.A.W juga mentafsirkan sebahagian besar dari bahagian ketiga, iaitu apa yang hanya diketahui oleh ulama tentang ijtihad mereka, seperti menjelaskan apa yang diterangkan secara ringkas di dalam al-Quran, mengkhususkan apa yang umum, menjelaskan apa yang menimbulkan kemusykilan dan yang seumpamanya.

Bukti yang menguatkan lagi hujah bahawa Rasul S.A.W tidak mentafsir kesemua makna-makna al-Quran ialah kerana terdapat percanggahan di kalangan para sahabat r.a sendiri di dalam menta’wil sebahagian daripada ayat al-Quran.
Para sahabat Rasul Allah S.A.W adalah orang yang paling tahu tentang al-Quran selepas Allah dan RasulNya. Ini kerana mereka adalah orang yang sentiasa berdamping diri dengan Rasul S.A.W.

Kita dapat melihat bagaimana keperihatinan para sahabat dalam mempelajari kitab Allah S.W.T melalui pengakuan-pengakuan yang mereka lafazkan, seperti mana pengakuan yang pernah diucapkan oleh Ibn Mas’ud:
"Demi Allah yang tiada tuhan selain dariNya, tidak turun ayat al- Quran, melainkan aku mengetahui kepada siapakah ianya diturunkan, di manakah ianya diturunkan, dan sekiranya aku mengetahui tempat seseorang yang lebih mengetahui tentang kitab Allah, serta boleh sampai ke tempatnya dengan mengenderai unta nescaya aku akan mendapatkannya

• Begitu juga dengan Ibn ‘Abbas yang dikenali sebagai turjuman al- Qur’an dengan berkat doa Rasul S.A.W:
( اللهم فقهه في الدين وعلمه التأويل )

Ibn Taymiyyah pernah berkata: " Orang yang paling alim dalam ilmu tafsir ialah ahli Mekah kerana mereka adalah sahabat kepada Ibn ‘Abbas seperti Mujahid, ‘Ata’, ‘Ikrimah hamba Ibn ‘Abbas dan lain - lain lagi dari sahabat Ibn ‘Abbas seperti Tawus, Sa‘id b. Jubayr dan lain-lain".

Sekiranya tidak terdapat tafsiran daripada para sahabat r.a maka hendaklah dirujuk kepada sumber Tafsir bi al-Ma’thur yang keempat dan terakhir iaitu pendapat atau pun tafsiran para tabi’in.

Sekiranya tidak terdapat tafsiran daripada para sahabat r.a maka hendaklah dirujuk kepada sumber Tafsir bi al-Ma’thur yang keempat dan terakhir iaitu pendapat atau pun tafsiran para tabi’in r.a seperti Mujahid dan lain - lain lagi.

Pendapat yang rajih dalam masalah ini ialah pendapat para tabi’in di dalam tafsir tidak wajib diambil. Melainkan pada dua tempat, pertama apabila tiada ruang bagi akal untuk memperkatakannya, dan kedua apabila bersepakat para tabi’in terhadap sesuatu tafsiran.

Pendapat Ibn Taymiyyah : Tafsir bi al -Ma’thur adalah sebaik-baik jalan mentafsir al-Quran dan yang paling Sahih.