Al- Ma‘thur adalah Isim Maf’ul berasal daripada perkataan ( أثرت الحديث أثرا ) dari bab ( قتل )
Percakapan al-Ma’thur ialah percakapan yang yang dipindahkan ( المنقول) sama ada dari al-Quran itu sendiri, atau dari Rasul S.A.W atau dari kalangan para sahabat dan tabi’in.
Tafsir bi al-Ma’thur ialah tafsir yang dipindahkan atau yang diriwayatkan sama ada ianya secara mutawatir atau sebaliknya.
Tafsir bi al-Ma‘thur terbahagi kepada empat bahagian:
1.Mentafsir al- Quran dengan al- Quran.
2.Mentafsir al- Quran dengan hadith Rasul.
3.Mentafsir al- Quran dengan pendapat para sahabat.
4.Mentafsir al- Quran dengan pendapat dan pandangan para tabi’in.
Allah S.W.T yang menurunkan al-Quran sudah semestinya mengetahui tentang perkara yang dikehendaki daripada kalamNya tersebut. Dalam hal ini, al-Quran ada menyatakan:
وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إلا اللَّهُ
Bermaksud: Tidak ada yang mengetahui ta‘wilnya melainkan Allah S.W.T.
Mereka yang memerhati dan meneliti hadith Rasul S.A.W mengetahui dengan ilmu yakin bahawa hadith adalah penjelas (Syarh) kepada al-Quran. Ini diakui sendiri oleh Rasul S.A.W di dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Mikdam bin Ma‘dikarab:
( ألا إني أوتيت الكتاب ومثله معه )
Bermaksud: Tidakkah bahawa aku telah diberikan kitab (al-Quran) dan juga yang seumpama dengannya (iaitu al- hadith).
• Ibn ‘Abbas menjelaskan bahawa tafsir itu terbahagi kepada empat bahagian:
1) Bahagian di mana bangsa Arab mampu memahaminya kerana ianya diturunkan menggunakan bahasa pertuturan mereka.
2)Bahagian yang mesti dan wajib diketahui oleh setiap individu.
3)Bahagian di mana tafsiran tersebut hanya mampu difahami oleh kalangan ulama.
4)Bahagian di mana tafsirannya tidak diketahui maksudnya kecuali Allah S.W.T.
Hakikatnya, Rasul S.A.W tidak mentafsir ayat-ayat yang mampu difahami oleh bangsa mereka kerana ianya diturunkan dengan menggunakan bahasa percakapan harian mereka. Rasul S.A.W tidak mentafsir ayat-ayat yang jelas maksud dan pengertiannya yang menuntut sehingga setiap orang wajib mengetahui, memahaminya.
Rasul S.A.W tidak mentafsir ayat-ayat yang hanya terdapat dalam pengetahuan Allah S.W.T sahaja, seperti kedatangan hari Kiamat, hakikat roh dan seumpamanya.
Rasul S.A.W hanya mentafsirkan kepada para sahabatnya perkara-perkara yang ghaib yang Allah S.W.T sembunyikan dari pengetahun mereka, tetapi tidak bagi RasulNya.
Baginda S.A.W juga mentafsirkan sebahagian besar dari bahagian ketiga, iaitu apa yang hanya diketahui oleh ulama tentang ijtihad mereka, seperti menjelaskan apa yang diterangkan secara ringkas di dalam al-Quran, mengkhususkan apa yang umum, menjelaskan apa yang menimbulkan kemusykilan dan yang seumpamanya.
Bukti yang menguatkan lagi hujah bahawa Rasul S.A.W tidak mentafsir kesemua makna-makna al-Quran ialah kerana terdapat percanggahan di kalangan para sahabat r.a sendiri di dalam menta’wil sebahagian daripada ayat al-Quran.
Para sahabat Rasul Allah S.A.W adalah orang yang paling tahu tentang al-Quran selepas Allah dan RasulNya. Ini kerana mereka adalah orang yang sentiasa berdamping diri dengan Rasul S.A.W.
Kita dapat melihat bagaimana keperihatinan para sahabat dalam mempelajari kitab Allah S.W.T melalui pengakuan-pengakuan yang mereka lafazkan, seperti mana pengakuan yang pernah diucapkan oleh Ibn Mas’ud:
"Demi Allah yang tiada tuhan selain dariNya, tidak turun ayat al- Quran, melainkan aku mengetahui kepada siapakah ianya diturunkan, di manakah ianya diturunkan, dan sekiranya aku mengetahui tempat seseorang yang lebih mengetahui tentang kitab Allah, serta boleh sampai ke tempatnya dengan mengenderai unta nescaya aku akan mendapatkannya
• Begitu juga dengan Ibn ‘Abbas yang dikenali sebagai turjuman al- Qur’an dengan berkat doa Rasul S.A.W:
( اللهم فقهه في الدين وعلمه التأويل )
Ibn Taymiyyah pernah berkata: " Orang yang paling alim dalam ilmu tafsir ialah ahli Mekah kerana mereka adalah sahabat kepada Ibn ‘Abbas seperti Mujahid, ‘Ata’, ‘Ikrimah hamba Ibn ‘Abbas dan lain - lain lagi dari sahabat Ibn ‘Abbas seperti Tawus, Sa‘id b. Jubayr dan lain-lain".
Sekiranya tidak terdapat tafsiran daripada para sahabat r.a maka hendaklah dirujuk kepada sumber Tafsir bi al-Ma’thur yang keempat dan terakhir iaitu pendapat atau pun tafsiran para tabi’in.
Sekiranya tidak terdapat tafsiran daripada para sahabat r.a maka hendaklah dirujuk kepada sumber Tafsir bi al-Ma’thur yang keempat dan terakhir iaitu pendapat atau pun tafsiran para tabi’in r.a seperti Mujahid dan lain - lain lagi.
Pendapat yang rajih dalam masalah ini ialah pendapat para tabi’in di dalam tafsir tidak wajib diambil. Melainkan pada dua tempat, pertama apabila tiada ruang bagi akal untuk memperkatakannya, dan kedua apabila bersepakat para tabi’in terhadap sesuatu tafsiran.
Pendapat Ibn Taymiyyah : Tafsir bi al -Ma’thur adalah sebaik-baik jalan mentafsir al-Quran dan yang paling Sahih.
No comments:
Post a Comment